Ahad, 9 Januari 2011

Ibu bapa main peranan bantu anak cemerlang

Ibu bapa main peranan bantu anak cemerlang
Oleh Mohamad Asyramisyanie

Pengiran Haji Zahari.

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Jan - Sokongan dan bimbingan keluarga khususnya ibu bapa merupakan faktor penting dalam menentukan kejayaan seseorang pelajar, kata Pengetua Maktab Sultan Omar 'Ali Saifuddien (SOAS), Pengiran Haji Zahari Pengiran Haji Ahmad.
Menurut beliau, pelajar hanya akan berjaya bukan setakat faktor peribadi seperti jati diri, rajin berusaha dan berdisiplin, tetapi juga kerana sokongan ibu bapa.
"Berdasarkan pengalaman saya mentadbir banyak sekolah di negara ini, pelajar yang berjaya sampai ke universiti adalah mereka yang memiliki keluarga yang stabil dan menyokong anak-anak, memberi sokongan moral, kewangan dan bimbingan.
"Inilah yang akan menjana perkembangan anak-anak," jelas beliau ketika berucap pada Majlis Orientasi Pelajar Tahun 7 Sesi Petang 2011 maktab berkenaan hari ini.
Pengiran Haji Zahari berkata, terdapat pelajar yang pada mulanya berjaya dalam pengajian, tetapi apabila ibu bapa mengambil sikap 'tidak kisah lagi' maka pelajar berkenaan menjadi merosot dan gagal mencapai apa yang diinginkan.
Oleh itu, tegas beliau, ibu bapa hendaklah sentiasa memberi sokongan dan bimbingan kepada anak masing-masing supaya mereka dapat mengecap kejayaan dalam pembelajaran serta mencapai cita-cita diimpikan.
Beliau turut menasihatkan ibu bapa agar sentiasa memantau perkembangan anak dan jika terdapat perubahan tabiat ke arah negatif, ia hendaklah jangan dibiarkan dan perlu ditangani segera.
Kira-kira 200 pelajar baru mendaftar untuk mengikuti Tahun 7 Maktab SOAS hari ini. Majlis orientasi itu berlangsung selama dua hari sehingga esok.
Pengiran Haji Zahari menyifatkan alam sekolah menengah sebagai titik perubahan kepada perkembangan seseorang pelajar dalam dunia persekolahan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pelajar supaya membuang unsur negatif seperti tabiat malas, suka membuang masa dengan bermain komputer tanpa kawalan, 'chatting,' dan berubah kepada ciri positif seorang pelajar.
Ia merupakan satu gejala era global yang perlu ditangani oleh institusi pendidikan dan ibu bapa sendiri.

Perlaksanaan SPN 21 lancar

Pelaksanaan SPN 21 lancar
Oleh Sim Y. H.

Cikgu Hajah Robiah semasa temu bual dengan Media Permata.

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Jan - Kementerian Pendidikan memulakan musim persekolahan 2011 melangkah setapak lagi ke arah mencapai hasrat melahirkan masyarakat yang berpendidikan serta berdaya tahan untuk menghadapi cabaran-cabaran abad ke-21 menerusi pelaksanaan Sistem Pendidikan Negara Abad Ke-21 (SPN 21) sepenuhnya bagi peringkat rendah.
Pelbagai usaha awal telah dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan dalam persiapan untuk melaksanakan sepenuhnya SPN 21 bagi peringkat rendah pada 2011 dengan mengadakan latihan bagi guru-guru serta menyediakan sukatan dan buku teks serta pelajaran yang akan menjurus kepada pendidikan yang holistik untuk murid-murid negara.
Guru Besar Sekolah Rendah Kapok, Cikgu Hajah Robiah Sahari dalam temu bual dengan Media Permata menjelaskan bahawa pelaksanaan SPN 21 yang diperkenalkan secara berperingkat-peringkat dan latihan yang disediakan itu menjadikan pelaksanaan SPN 21 bagi peringkat rendah berjalan dengan baik sekali.

Baginda Sultan berkenan kurniakan nama cucunda

Baginda Sultan berkenan kurniakan nama cucunda
Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah binti Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah. - Gambar Infoto

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Jan - Pada menjunjung titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dengan ini Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin bin Pengiran Paduka Tuan Pengiran Haji Abu Bakar, Grand Chamberlain mengumumkan bahawasanya Baginda Sultan dengan amat sukacita telah mengurniakan nama kepada cucunda Baginda yang telah selamat diputerikan pada hari Ahad 28 Muharam 1432 Hijrah bersamaan 2 Januari 2011, jam 10.47 malam dengan nama Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah binti Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah.
Baginda Sultan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Pengiran Muda Mahkota, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah serta Kerabat Baginda dengan sukacita mengurniakan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat semasa meluaran tersebut dan juga kepada semua yang menyembahkan perutusan tahniah dan ucap selamat berikutan dengan selamatnya meluaran tersebut.

Maklumat orang ramai bantu polis berkas dua pencuri

Maklumat orang ramai bantu polis berkas dua pencuri
Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Jan - Polis pada 26 Disember lalu telah menerima laporan mengenai kejadian curi yang berlaku di salah sebuah kedai di Jalan Kumbang Pasang dan hasil maklumat daripada orang ramai, polis berjaya memberkas dua lelaki tempatan berusia 39 dan 42 tahun.
Siasatan polis terhadap kedua-dua lelaki terbabit telah membawa kepada penemuan mini motosikal, set televisyen dan silinder gas memasak, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Unit Perhubungan Awam Pasukan Polis Diraja Brunei hari ini.
Kedua-dua tertuduh sudah pun dihadapkan ke Mahkamah pada 6 Januari lalu dan didakwa mengikut Seksyen 380, Kanun Keseksaan Jenayah yang memperuntukkan penjara bagi suatu tempoh sehingga tujuh tahun dan denda.
Kedua-dua tertuduh telah diberi jaminan mahkamah sebanyak $3,000 dengan seorang penjamin tempatan.
Polis dalam kenyataannya turut mengucapkan terima kasih atas bantuan orang ramai yang memberi sokongan kepada agensi penguatkuasaan undang-undang dalam sama-sama menjaga kesejahteraan dan keselamatan negara ini.

Happy New Year