Ahad, 9 Januari 2011

Ibu bapa main peranan bantu anak cemerlang

Ibu bapa main peranan bantu anak cemerlang
Oleh Mohamad Asyramisyanie

Pengiran Haji Zahari.

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Jan - Sokongan dan bimbingan keluarga khususnya ibu bapa merupakan faktor penting dalam menentukan kejayaan seseorang pelajar, kata Pengetua Maktab Sultan Omar 'Ali Saifuddien (SOAS), Pengiran Haji Zahari Pengiran Haji Ahmad.
Menurut beliau, pelajar hanya akan berjaya bukan setakat faktor peribadi seperti jati diri, rajin berusaha dan berdisiplin, tetapi juga kerana sokongan ibu bapa.
"Berdasarkan pengalaman saya mentadbir banyak sekolah di negara ini, pelajar yang berjaya sampai ke universiti adalah mereka yang memiliki keluarga yang stabil dan menyokong anak-anak, memberi sokongan moral, kewangan dan bimbingan.
"Inilah yang akan menjana perkembangan anak-anak," jelas beliau ketika berucap pada Majlis Orientasi Pelajar Tahun 7 Sesi Petang 2011 maktab berkenaan hari ini.
Pengiran Haji Zahari berkata, terdapat pelajar yang pada mulanya berjaya dalam pengajian, tetapi apabila ibu bapa mengambil sikap 'tidak kisah lagi' maka pelajar berkenaan menjadi merosot dan gagal mencapai apa yang diinginkan.
Oleh itu, tegas beliau, ibu bapa hendaklah sentiasa memberi sokongan dan bimbingan kepada anak masing-masing supaya mereka dapat mengecap kejayaan dalam pembelajaran serta mencapai cita-cita diimpikan.
Beliau turut menasihatkan ibu bapa agar sentiasa memantau perkembangan anak dan jika terdapat perubahan tabiat ke arah negatif, ia hendaklah jangan dibiarkan dan perlu ditangani segera.
Kira-kira 200 pelajar baru mendaftar untuk mengikuti Tahun 7 Maktab SOAS hari ini. Majlis orientasi itu berlangsung selama dua hari sehingga esok.
Pengiran Haji Zahari menyifatkan alam sekolah menengah sebagai titik perubahan kepada perkembangan seseorang pelajar dalam dunia persekolahan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pelajar supaya membuang unsur negatif seperti tabiat malas, suka membuang masa dengan bermain komputer tanpa kawalan, 'chatting,' dan berubah kepada ciri positif seorang pelajar.
Ia merupakan satu gejala era global yang perlu ditangani oleh institusi pendidikan dan ibu bapa sendiri.

0 ulasan:

Catat Ulasan