Bangun awal teruja jumpa rakan baru
Oleh Ak Fairol RMF
Bazla sempat mengukir senyuman ketika memulakan persekolahan.
Qamarul (dua kiri) bersama rakan beliau.
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Jan - Keceriaan kanak-kanak yang baru memasuki alam persekolahan jelas terlihat setelah sekolah mula dibuka hari ini termasuk Sekolah Cemerlang Abejess (SECA) di Kampung Katok, Jalan Muara, yang mempunyai lebih 100 murid.
Menurut Guru Besarnya, Angelina Lim, permulaan sekolah nampak berbeza berbanding hari lain dan murid mula merasakan tempat yang lebih menarik. Ada juga yang tidak ingin pergi ke sekolah kerana takut tetapi ia berlaku pada peringkat awal sahaja.
Seorang murid, Bazla, 6, berkata beliau bangun seawal pukul 6 pagi dan sudah mula berpakaian seragam kerana teruja untuk pergi ke sekolah dan bertemu kawan baru.
Bagi murid Tahun Dua, Qamarul, beliau juga rasa seronok pergi sekolah kerana sudah boleh mengira dan membaca di samping menerima wang perbelanjaan.
Brunei membuka lembaran baru dalam pendidikan dengan pelaksanaan Sistem Pendidikan Negara Abad 21 (SPN21) di semua sekolah.
Ia menjadi satu perjalanan dan era baru yang akan ditempuhi dengan fikiran terbuka serta positif dan penuh keyakinan di mana sistem baru itu dihasratkan dapat meningkatkan lagi tahap pencapaian pendidikan di semua peringkat bagi merealisasikan Wawasan Brunei 2035.
Menerusi wawasan itu, negara akan dikenali di seluruh dunia dengan mempunyai rakyat berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya, mempunyai rakyat dengan kehidupan berkualiti tinggi serta ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan.
SPN21 merupakan sistem pendidikan baru yang diluluskan Kementerian Pendidikan dengan membawa beberapa perubahan amat besar secara berperingkat.
Peringkat peralihan bagi SPN21 bermula dengan pelaksanaan bagi pelajar Tahun 7 2008 yang lulus Penilaian Sekolah Rendah 2007, peringkat rendah pada 2009 dengan perlaksanaan dilakukan untuk pelajar Tahun 1 dan 4 serta pelaksanaan penuh SPN21 di peringkat rendah dilakukan tahun ini.
0 ulasan:
Catat Ulasan